BAB 1: PENGENALAN
Lihatlah rakaman YouTube ini sebagai panduan:
Bagaimana menyediakan "BAB 1 PENGENALAN" ini?
Secara fizikalnya, BAB 1 PENGENALAN ini merupakan bab yang terawal sekali dalam penulisan sesebuah tesis, tak kiralah ianya tesis kajian dengan pendekatan kualitatif atau kuantitatif.
Persoalannya, adakah ia juga menggambarkan sebagai TINDAKAN PERMULAAN BAGI ANDA? Apakah tindakan yang perlu diambil agar bab ini khususnya, dan bab-bab yang lain umumnya, dapat disiapkan dengan baik dan mudah?
Berdasarkan pengalaman saya sendiri (dan ini bukannya sesuatu yang tertulis dan perlu dipatuhi), saya dapati agak sukar menulis Bab 1 ini pada peringkat awal. Sukar bagi saya menyiapkan bab ini sekiranya saya terus fokus dan mengabaikan bab-bab lain. Dengan kata lain, agak sukar untuk saya memenuhi harapan saya sendiri pada peringkat awal untuk menulis bab 1 ini dengan selengkapnya, sebelum meneruskan kepada penulisan bab-bab yang lain. Permasalahan ini amat membebankan bagi saya, dan mengorbankan banyak masa dengan sia-sia.
Dalam hal ini saya cadangkan agar anda menggunakan masa anda pada peringkat permulaan ini untuk membaca tesis-tesis atau journal-journal yang sedia ada. Mulakan lah dengan mendalami kajian anda sendiri melalui pembacaan anda itu. Untuk memastikan masa anda tidak terbuang begitu sahaja, eloklah anda menggunakan masa ini untuk menulis BAB 2 TINJAUAN LITERATUR terlebih dahulu. Mungkin bab tinjauan literatur yang anda tulis pada tahap ini agak kurang baik, tetapi sebenarnya yang lebih penting adalah menggunakan masa ini untuk memahami dan mendalami kajian yang akan dijalankan.
Ingatlah, walaupun anda bermula dengan menulis BAB 2, tetapi ia bukanlah matlamat utama anda pada tahap ini, dan matlamat sebenar anda adalah untuk menulis BAB 1. Namum apabila anda mendalami Bab 2, anda akan dapat memahami banyak perkara tentang tesis, khususnya tetang perkonsepan dan teori yang terbabit atau mendasari kajian anda, konstruk-konstruk yang perlu difahami atau didalami dan sebagainya. Mungkin disini, anda memerlukan masa satu atau dua bulan dalam memanuhi hasrat ini.
Seterusnya, setelah anda rasakan sudah mampu memahami kajian yang akan anda jalankan dengan baik, barulah anda boleh mula mencuba menulis Bab 1 dan anda akan dapati ia akan menjadi lebih mudah.
Kandungan dan panduan menulis bab ini adalah seperti berikut:
Umumnya sebuah tesis mengandungi bab khusus sebagai pengenalan tentang kajian yang dijalankan, yang dipanggil sebagai "Pengenalan". Berikut dibincangan kandungan yang secara umumnya dimuatkan dalam bab ini:
Biasanya, kandungan Bab 1 ini mengandungi tajuk-tajuk seperti berikut:
1.1 Pendahuluan
1.2 Pernayataan Masalah
1.3 Kerangka Konsep
1.4 Objektif Kajian
1.5 Soalan Kajian
1.6 Kepentingan Kajian
1.7 Batasan Kajian
1.8 Definisi Operasi
BAB 1 PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Bahagian ini merupakan pengenalan kepada isi kandungan kajian yang akan anda jalankan. Secara umum kita boleh dapat gambaran menyeluruh tantang kajian melalui subtajuk ini. Perlu diingat bahawa bahagian ini merupakan permulaan kepada bab dan juga pengenalan kepada keseluruhan tesis yang anda bentangkan. Oleh itu, pernyataan yang diberikan haruslah tepat dan mampu menarik perhatian pembaca untuk terus menghayati penuliasan anda.
Sebenarnya gaya penulisan pengenalan atau latar belakang kajian ini adalah berbagai-bagai. Ia bergantung kepada kemampuan dan bakat anda sendiri.
Walau bagaimanapun, berikut adalah satu daripada cadangan penulisan yang boleh anda buat. Sebagai contoh, katakan kajian anda adalah tentang "penerapan nilai murni melalui pengajaran matematik dalam bilik darjah". Oleh itu dalam bahagian ini anda perlulah menyentuh tentang hasrat penerapan nilai murni sebagaimana digariskan dalam kurikulum, paraturan atau garis panduan tentang hasrat penerapan nilai murni dalam pengajaran, arahan pihak berkuasa, kurikulum, masyarakat dan sebagainya.
Secara umum, apabila seseorang itu membaca bahagian ini, dia akan dapat mengagak apakah fokus kajian yang akan dibentangkan seterusnya.
1.2 Pernayataan Masalah
Apa itu pernyataan masalah? Cuba fikirkan, mengapa anda atau seseorang penyelidik ingin membuat penyelidikan atau kajian. Adakah untuk suka-suka sahaja. Mungkin sepintas lalu, kepada seorang pelajar, menyelesaikan satu kajian atau penyelidikan hanya sekadar untuk melengkapkan program dan seterusnya mendapat ijazah/sarjana/PhD. Tetapi, adakah ini sebenarnya matlamat membuat kajian atau penyelidikan ini?
Penyelidikan atau kajian ini dibuat oleh seseorang atau kumpulan penyelidik tentunya mempuanyai hasrat yang tertentu. Sebagai contoh, sesuatu kajian dibuat setelah didapati terdapat sesuatu permasalahan yang timbul dan ingin dicari jalan penyelesaian yang lebih baik. Atau macam-macam lagi. Oleh itu, kepada penyelidik, memulakan sesuatu penyelidikan perlulah dikanalpasti dengan sejelas-jelasnya, apakah isu atau masalah yang sedang dihadapi.
Secara umum penyataan masalah ialah suatu penyataan yang anda tulis bagi mengambarkan permasalahan yang anda kenalpasti sendiri, dan perlu anda selidiki seterusnya. Pernyataan masalah ini bukan hanya masalah pada pandangan anda, tetapi juga merupakan masalah yang dihadapi/alami oleh orang lain juga. Oleh itu, pernyataan masalah bukanlah sekadar pernyataan atau pendapat anda sendiri sahaja, tetapi merupakan hasil daripada sumbar bacaan yang sudah anda terokai. Ini bererti pernyataan masalah yang anda tulis itu perlulah disokong oleh sumber rujukan yang berkaitan.
Pernyataan masalah perlulah berdasarkan sumber bacaan yang sah dan boleh dipercayaai. Antara sumber bacaan adalah seperti jurnal, hasil penyelidikan oleh para penyelidik, tesis, disertasi dan sebagainya. Bagaimanapun sumber yang hanya sekadar pendapat daripada penulis yang kurang berkelayakan adalah tidak digalakkan.
Pernyataan masalah yang baik: Pernyataan masalah yang baik ialah pernyataan yang menggariskan permasalah dengan jelas. Secara umum, pernyataan masalah merangkumi: latar belakang kajian (termasuklah faktor penyebab timbunya permasalahan tersebut); rasional atau justifikasi melaksanakan kajian tersebut; serta isu-isu etikal (Fraenkel & Wallen, 1990). Isu etika ini meliputi juga dasar dan arahan tetang sesuatu keputusan. Disamping itu permasalah yang terkandung dalam penyataan masalah itu perlulah selari dengan objektif kajian atau soalan kajian yang perlu diselesaikan namti.
Pernyataan masalah yang tidak baik adalah apabila isi kandungan penyataan masalah tidak dapat menunjukkan pertalian dengan objektif atau soalan kajian.
Oleh itu, untuk menjamin kajian yang baik dapat dilaksanakan, amat perlu bagi anda memastikan terlebih dahulu "pernyataan masalah" dikenalpasti atau ditulis dengan baik. Daripada situlah sebenarnya akan membawa anda kepada pembinaan objektif dan soalan kajian.
Ingatlah bahawa setiap kajian mempunyai matlamat, dan matlamat utama adalah untuk merungkai permasalahan yang berbangkit. Tidak berguna sesuatu kajian itu sekiranya dilaksanakan bukan berdasarkan kepada permasalahan yang sedang dihadapi.
1.3 Kerangka Konsep
Kerangka konsep ialah kerangka kajian yang anda jalankan. Ia mengandungi semua pembolehubah atau perkara yang anda kaji. Ia juga menunjukkan perhubungan antara semua pembolehubah atau perkara uang anda kaji.
Kerangka konsep digambar dalam bentuk gambar rajah. Ia akan memperlihatkan semua perkara yang dikaji disamping menunjukkan ruang lingkup yang dikaji. Contohnya, jika kajian adalah tentang pengajaran guru maka kerangka konsep adalah hanya tentang pengajaran guru, dan tidak termasuk pembelajaran pelajar. Oleh itu, kerangka konsep perlu dinyatak dengan jelas agar ia dapat menggambarkan sejauh mana kajian akan dilakukan.
Kerangka konsep yang dibina oleh pengkaji bolehlah: berdasarkan kefahaman anda sendiri; atau berdasarkan pengubahsuaian atau penambahbaikan daripada kajian-kajian seterusnya. Perlu diingat bahawa, sekiranya kerangka konsep yang dibina adalah berdasarkan kefaham sendiri, amat perlu bagi pengkaji mamahami teor-teori yang barkaitan dengan jelas dan kritikan. Tindakan sebegini akan memastikan bahawa kajian yang anda laksanakan tidak tersasar jauh, itu tidak tersasar daripada matlamat sebenar kajian anda.
Walau bagaimanapun, menjadi lebih mudah bagi pengkaji sekiranya kerangka konsep yang dibina itu adalah berlandaskan kepada beberapa kajian sebelumnya. Antara tindakan yang diambil adalah seperti menganalisis beberapa kerangka konsep yang berkaitan yang sudah dilaksanakan, seterusnya mengenalpasti "lompang" yang ada dan seterunsya mencuba memenuhi "lompang" tersebut.
1.4 Objektif Kajian
Setiap kajian perlu ada objektif yang jelas. Objektif ini hanya dapat dinyatakan dengan baik setelah pernyataan masalah dapat dibuat dengan baik. Di antara objektif dan penyataan masalah mestilah mempunyai perhubungan yang nyata atau jelas. Jangan pula orang kata "tiada perkaitan".
Ingatan: inilah perkara yang sering ditimbulkan semasa VIVA. Antara komen yang sering kedengaran, "pernyataan masalah anda dan objektif tiada kaitanlah", "pernyataan masalah dan objektif kurang menampakkan perkaitan lah", dan sebagainya.
Oleh itu, objektif kajian ini penting sebagai pernyataan yang akan menentukan matlamat atau kesudahan bagi sesuatu kajian. Objektif perlulah dinyatakan dengan jelas.
Secara umum, dalam subtajuk "objektif kajian" ini dirangkumkan kepada dua perkara utama:
Perkara pertama ialah penyataan umum tentang matlamat kajian, yang dipanggil sebagai "tujuan kajian". Sebagai contoh "Kajian ini secara umum mempunyai tujuan untuk ....".
Seterusnya pernyataan yang khusus perlu dibuat, yang dipanggil sebagai objektif kajian. Objektif kajian dinyatakan secara spesifik, satu persatu objektfnya. Sebagai contoh: "Kajian ini mempunyai tiga objektif iaitu;
i. Mengenal pasti .....
ii. Mengenal pasti .....
iii. Mengenal pasti ..... "
1.5 Soalan Kajian
Soalan kajian pula dibina berdasarkan objektif kajian. Sekiranya ada TIGA objektif, biasanya juga mempunyai TIGA soalan kajian.
Soalan kajian adalah pernyataan semula objektif kajian ke dalam bentuk soalan. Oleh itu, ayat yang sesuai bagi soalan kajian mestilah melaibatkan perkataan seperti "Apakah....", "Bagaimanakah ...", "Mengenalpasti..." dan sebagainaya.
Soalan kajian ini ialah soalan yang anda bina sendiri agar anda tahu bahawa semasa merancang, melaksana dan menganalisis data, ketiga-tiga soalan kajian itu perlu dijawab. Tidak akan sempurna sesuatu kajian itu sekiranya soalan kajian tidak dijawab dengan sempurna dan tepat.
Sering berlaku semasa VIVA, pemeriksa berkata "tesis ini tidak menjawab semua soalan yang ditimbulkan" atau "anda tidak menjawab soalan ketiga dengan tepat" atau "soalan kajian anda ini tidak jelas begaimana menjawabnya".
Oleh itu, perlu diingat kepentingan soalan kajian yang anda bina itu. Sebenarnya soalan kajian anda akan diambil kira semasa menulis BAB 4 nanti, iaitu tentang "ANALISIS DATA" anda perlu menunjukkan data-data yang sesuai dan sepadan untuk menjawab kesemua soalan kajian tersebut.
Begitu juga semasa menulias BAB 5 nanti, semua soalan kajian perlu anda fokuskan. Ini bererti, anda perlu memastikan soalan soalan kajian itu dijawab dan dinyatakan dalam bentuk "Rumusan dan Perbincangan". Perbincangan lanjut, lihatkan Bab 5 seterusnya.
1.6 Kepentingan Kajian
Kepentingan kajian amat perlu ditulis dengan baik. Jangan pandang mudah bahagian ini. Anda perlu nyatakan dengan jelas mengapa perlunya kajian ini dilaksanakan. Apa kepentingan kepada anda dan masyarakat profesional/umum keseluruhannya.
1.7 Batasan Kajian
Mungkin anda biasa dengan perkataan "batas". Kalau di sawah padi, ada batas dibuat oleh petani. Jadi batas di sini menggambarkan had bagi usaha seseorang petani tersebut. Tak boleh keluar daripada had tersebut.
Begitu juga dengan kajian. Kajian anda mesti ada batasnya, atau batas kebenarannya. Tidak mungkin dapatan sesuatu kajian itu benar untuk semua ketika dan di mana-mana tempat.
Contohnya, sekiranya sampel kajian adalah "pelajar perempuan" maka sudah tentu dapatan kajian anda hanya benar untuk perempuan sahaja. Tidak benar untuk pelajar lelaki. Sekiranya pula kajian melibatkan "pelajar perempuan Melayu" maka dapatan kajian anda hanya benar untuk pelajar perempuan Melayu sahaja dan tak boleh digunakan untuk pelajar berbangsa lain.
Inilah gambaran umum tentang "batasan kajian".
Oleh itu, pemilihan sampel, pembinaan instrumen dan berbagai lagi, amat penting bagi menentukan batasan sesuatu kajian. Malahan bagi suatu kajian kualitatif, pengkaji sendiri boleh menjadi sebab berlakukanya batasan kajian.
1.8 Definisi Operasi
Definisi operasi ialah definisi yang anda tulis sendiri berdasarkan bacaan anda. Definisi operasi ini adalah suatu definisi terhadap istilah yang anda gunakan sendiri dalam kajian anda. Oleh itu definisi sesuatu istilah atau konsep mungkin berbeza di antara suatu kajian dengan kajian yang lain.
Perlu diingat, walaupun definisi operasi ini anda tulis sendiri, tetapi hendaklah berdasarkan sumber bacaan atau tinjauan literatur yang telah anda dalami dalam Bab 2. Ini bererti sesuatu definisi operasi yang anda tulis itu perlulah terbit setelah anda mendalami beberapa definisi yang telah dibuat oleh pengkaji yang terdahulu. Seterusnya anda rangkumkan, generalisasikan atau simpulkan menjadi sauatu definisi yang berguna untuk kajian anda.
Rujukan:
Fraenkel, J. R. & Wallen, N. E. (1990). How to design and evaluate research (3 rd Edt.). San Francisco, USA: McGrew Hill, Inc. e
No comments:
Post a Comment